Alhamdulillah…..Kami bersyukur kehadrat Ilahi dengan limpah dan kurnia Nya kerana dapat menubuhkan RAWATAN ISLAM AL–HAZ yang berlandaskan kaedah cara perubatan Islam bagi penyakit gangguan makhluk halus ataupun penyakit fizikal bagi menggabungkan secara  sepadu iaitu PEMULIHAN–PENAWAR–KEBATINAN. Jesteru itu , penubuhan RAWATAN ISLAM AL–HAZ diharap dapat menyumbang kearah kebaikkan bersama. Apa juga kaedah yang digunakan, matlamat dan tujuan murninya ialah berikhtiar membantu para pesakit mendapat rawatan bagi meringankan penderitaan mereka, asalkan cara rawatan itu tidak mengandungi unsur-unsur syirik dan sebagainya.

Usaha untuk mendapatkan ubat bagi sesuatu penyakit telah dilakukan sejak zaman Nabi Allah Adam sehingga sekarang dan usaha ini masih berterusan. Jenis penyakit kian bertambah dan lebih rumit lagi dengan perubahan cara gaya hidup manusia dan perubahan dalam alam persekitaran. Walaupun Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, ‘ Bahawa setiap penyakit ada ubatnya melainkan penyakit tua dan mati’, masih banyak lagi kaedah perubatan yang belum kita ketahui. Apa yang kita ketahui hanya sedikit sahaja, Allah SWT yang maha mengetahui.

Walaupun berbagai jenis ubat telah diciptakan oleh manusia sehingga pada hari ini , namun masih banyak lagi penyakit yang belum diketahui punca dan ubatnya. Kita juga tidak terkecuali dari diserang segala jenis penyakit dan berbagai usaha serta cara dilakukan untuk merawat penyakit. Rasulullah SAW menggalakkan umatnya berusaha untuk mendapatkan ubat bagi setiap penyakit yang dihidapi. Malah baginda menekankan pentingnya pencegahan penyakit melalui langkah-langkah tertentu. Rasulullah SAW sendiri mempunyai kemahiran untuk merawat sesetengah jenis penyakit yang tertentu. Kaedah rawatan yang diamalkan oleh baginda berasaskan akidah dan nilai-nilai Islam.

RAWATAN ISLAM AL–HAZ adalah satu kaedah kombinasi rawatan atau ilmu perubatan yang merangkumi penyakit-penyakit fizikal dan juga penyakit yang disebabkan oleh gangguan dari makhluk halus, jin, syaitan, perbuatan sihir dan sebagainya. Disebalik sebagai satu ikhtiar untuk merawat pesakit sebagaimana yang dituntut oleh agama, jika dihalusi dengan lebih teliti tentang cara amalan, kaedah rawatan dan proses rawatan, semuanya itu menjurus kepada mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dalam menghadapi dan mengalami apa jua penyakit, kita mesti bersabar dan berusaha mendapatkan rawatan yang betul.InsyaAllah usaha kita akan diperkenankan oleh Nya.

Manusia haruslah sedar tentang bakat-bakat dan nilai-nilai yang Allah SWT ciptakan sebagai sebahagian daripada kejadian manusia itu sendiri. Pada kejadian manusia sudah ada bakat berkehendak dan membuat pilihan. Usaha dan ikhtiar tidak menyalahi takdir kerana Allah SWT telah menentukan sejak azali bahawa manusia memiliki bakat untuk berusaha, berikhtiar dan berkehendak.

Oleh yang demikian usaha tidak boleh dipisahkan daripada iman iaitu SABAR, SYUKUR, TAWAKAL DAN REDHA. Kita sebagai pesakit perlulah berusaha mencari dimana saja kita ketahui ada kaedah rawatan yang berkesan, khususnya rawatan yang berasaskan sains perubatan moden ataupun secara kebatinan yang tidak menyalahi agama.Disamping itu kita juga perlu berdoa kehadrat Ilahi dengan insaf atas musibah yang menimpa diri kita. Kita patut banyak bersabar dan bertasbih. Mungkin ini satu cubaan untuk menguji kesabaran kita, mungkin juga satu balasan bagi kesalahan yang telah kita lakukan dimasa lepas.

Apabila sahaja kita sembuh dari setiap penyakit, hendaklah kita terus memanjat rasa bersyukur kepada Ilahi, ucaplah ‘Alhamdulillah’ dengan penuh kefahaman dan rasa keinsafan.

Salam hormat dan ikhlas dari kami,
Rawatan Islam Al-Haz